Majlis Perasmian dan Pembukaan KKPPW Siri 26/13

SUBANG, 17 Sep 13 - Majlis Perasmian dan Pembukaan Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Pegawai Waran (KKPPW) Siri 26/13 telah diadakan di Dewan Pahlawan, Pusat Latihan Pentadbiran dan Pengurusan (PLPP). Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Udara, YBhg Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali bin Daud TUDM. Turut hadir mengiringi adalah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Mej Jen Dato’ Azizool Arif bin Abdul Ghani TUDM dan Komander Pangkalan Udara Subang, YBhg Brig Jen Dato’ Hj Romlee bin Yahaya TUDM. Seramai 30 anggota terdiri daripada 9 orang berpangkat Flait Sarjan dan 21 orang berpangkat Pegawai Waran dari pelbagai ketukangan dalam TUDM mengikuti kursus ini selama 2 minggu bermula 17 Sep hingga 3 Okt 13.

  Dalam ucapan yang disampaikan, YBhg PTU memaklumkan bahawa kurikulum kursus ini digubal bagi membentuk seorang Pegawai Waran yang berketrampilan dan berwibawa bagi mencapai misi TUDM ke arah organisasi Angkatan Udara berspektrum penuh. Pada masa yang sama YBhg PTU mengharapkan kursus ini dapat melahirkan anggota yang berwibawa, berdedikasi dan mempunyai kredibiliti professional dalam melaksanakan tugasan harian.

  Pihak pengurusan tertinggi TUDM mendapati masih ada lagi unsur-unsur tidak sihat berlaku pada masa kini, yang juga melibatkan Senior Non Commission Officer (SNCO). Justeru, bagi membendung gejala ini dari menular dengan lebih serius, adalah menjadi harapan TUDM supaya Direktif PTU No 12 mengenai pelaksanaan SNCO Empowerment dihayati sepenuhnya. Sebagai kumpulan pemimpin tertinggi di peringkat bawahan, seorang Pegawai Waran akan berfungsi sebagai kumpulan perantaraan di antara pihak pengurusan atasan dengan bawahan. Ini bertujuan mentafsirkan segala arahan yang dikeluarkan bagi membolehkan pelaksanaan berjaya menghasilkan sesuatu keputusan yang terbaik. Komunikasi dalam kepimpinan organisasi sangat penting di antara kedua-dua pihak untuk menjadikan saluran itu lebih berkesan tanpa sebarang halangan.

  Pemimpin perlu ada pendekatan yang lebih kreatif bagi menonjolkan diri sejajar dengan situasi semasa yang relevan sebagai contoh mampu menjana idea, mengajar dan membimbing anggota bawahan untuk kepentingan organisasi bukannya kepentingan peribadi. Sebelum mengakhiri ucapannya, YBhg PTU mengharapkan pelaksanaan kursus ini akan terus membuka minda dan memberi ruang kepada SNCO menambah ilmu dan menjana idea yang realistik selaras dengan pembangunan sumber manusia dan teknologi.

 

Majlis Perasmian dan Pembukaan KLPT Siri 60/13

SUBANG, 6 Sep 13 - Majlis Perasmian dan Pembukaan Kursus Lanjutan Pembantu Tadbir Siri 60/13 telah diadakan di Dewan Pahlawan, Pusat Latihan Pentadbiran dan Pengurusan (PLPP). Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Ketua Staf Markas Pendidikan dan Latihan Udara, Kol Abdul Manaf bin Md Zaid TUDM. Seramai 40 anggota berpangkat Laskar Udara Satu (LU I) mengikuti kursus tersebut selama 15 minggu mulai 3 Sep hingga 11 Dis 13.

   Dalam ucapan yang disampaikan, beliau mengingatkan kepada semua pelatih bahawa pendekatan Airforce Next Generation (AF-NG) bukanlah suatu yang bersifat retorik semata-mata.  Sebaliknya, setiap anggota tidak kira peringkat apa sekalipun, perlu menghayati serta melaksanakan peranannya di dalam proses transformasi ini dengan berkesan pada sebilang masa lebih-lebih lagi ketika sedang berkursus di pusat latihan ini.

   Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau memaklumkan bahawa kursus ini akan mendedahkan pelatih kepada isu-isu asas pengurusan dan cara-cara menanganinya dengan berkesan. Disepanjang kursus ini pendedahan lebih ke arah susunan modul-modul pembelajaran termasuklah semasa sesi kelas, simulasi dan juga latihan sambil bekerja. Melalui proses ini pelatih dapat belajar mengenalpasti sesuatu masalah pentadbiran yang timbul.  Ianya akan disusuli dengan proses menyelesaikannya melalui kaedah dan teknik tertentu yang telah termaktub di dalam arahan-arahan terkini. Selamat berkursus kepada semua pelatih.

Alamat

Pusat Latihan Pentadbiran & Pengurusan
d/a Pangkalan Udara Subang
40000 Shah Alam
Selangor Darul Ehsan
Tel: 03-78444776
Faks: 03-78469831

Emel: Alamat e-mel ini dilindungi daripada spambots. Anda perlukan JavaScript diaktifkan untuk memaparkannya.

Akhbar Online